Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana pelabur yakin mata wang pasaran baru muncul Asia, termasuk ringgit, akan mendapat faedah menjelang sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un di Singapura.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 3.9860/9900 berbanding 3.9870/9900 bagi setiap dolar AS ketika ditutup Jumaat lalu.

Dalam satu nota hari ini, Ketua Strategi Matawang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, secara umumnya, mata wang serantau dikelasifikasi sebagai satu daripada aset pelaburan yang lebih berisiko.

"Mereka mungkin mendapat manfaat daripada sentimen yang lebih baik di pasaran saham yang menarik minat pelabur ke arah mata wang pasaran baru muncul," katanya.

Jameel berkata, negara-negara yang paling dekat dengan Korea Utara secara geografi juga akan menjadi pesaing dalam kenaikan itu.

"Ini termasuk won Korea, yuan China, baht Thai, rupiah Indonesia dan ringgit Malaysia. Dolar Singapura juga boleh mendapat manfaat," katanya.

Sementara itu, peniaga lain berkata, pelabur telah mengambil kira jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Rabu.

Oleh itu, beliau berkata, impak daripada jangkaan kenaikan kadar faedah Fed terhadap ringgit dijangkakan kurang memberi kesan besar.

Ketika ditutup, mata wang tempatan itu didagangkan bercampur-campur dengan sekumpulan mata wang asing lain.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3281/3342 daripada 5.3482/3534 Jumaat lepas dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6223/6263 berbanding 3.6468/6505 sebelumnya.

Bagaimanapun, berbanding mata wang Singapura, ringgit merosot kepada 2.9855/9897 daripada 2.9836/9881 Jumaat lepas dan jatuh berbanding euro kepada 4.6987/7054 daripada 4.6903 / 6946, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini