Ringgit dibuka tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping bersetuju untuk menghentikan seketika perang perdagangan.

Pada jam 9.02 pagi, ringgit naik 50 mata asas kepada 4.1770/1810 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1820/1870 pada Jumaat.

Ketua Pedagang Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata pertemuan antara Xi-Trump berakhir dengan harapan yang tinggi.

“Dengan redanya ketegangan, ia akan mengurangkan tarikan perlindungan selamat dolar AS. Kita menjangkakan dolar akan lebih lemah berbanding mata wang utama lain, selain dorongan kepada aset lebih berisiko, termasuk mata wang dan saham pasaran sedang pesat membangun di Asia,” katanya.

Meskipun menyatakan pasaran modal Malaysia perlu disokong oleh sentimen risiko yang bertambah baik, Innes bagaimanapun menjangkakan, pasaran bon tempatan akan berdepan dengan peningkatan kebimbangan terhadap penjualan perbendaharaan AS.

“Walaupun pengenduran perang perdagangan baik bagi pasaran komoditi, dengan ketiadaan pengumuman rasmi atau tidak rasmi tentang pengurangan bekalan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum + (OPEC +), ringgit mungkin tidak berubah sehingga Sidang Kemuncak OPEC di Vienna pada 6 Disember ini, yang kelaknya akan menentukan nasib harga minyak dunia dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada paras pembukaan, ringgit juga diniagakan kukuh berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0491/0525 daripada paras penutup 3.0499/0546 pada Jumaat, naik berbanding yen kepada 3.6769/6814 daripada 3.6843/6903 dan menokok berbanding euro kepada 4.7367/7417 daripada 4.7545/7619.

Ringgit juga meningkat berbanding pound kepada 5.3311/3379 daripada 5.3375/3443.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini