Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan sentimen kukuh menjelang tahun baharu.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.1760/1800 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1810, semalam.

Dalam satu nota, Kenanga Investment Bank, berkata pengumuman kurang memberangsangkan oleh Rizab Persekutuan (Fed) dan penurunan kadar kenaikan faedah yang dirancang akan menjejaskan prestasi kukuh dolar AS pada 2019, dan mengurangkan tekanan terhadap mata wang pasaran baharu muncul.

"Walaupun kita menjangkakan tekanan menurun terhadap ringgit akan berterusan hingga 2019, berikutan ketidaktentuan ekonomi global, keadaan itu dilihat berkurang.

"Justeru, kami mengekalkan unjuran ringgit berbanding dolar AS pada 4.15, walaupun ia dijangka mencecah paras 4.20 dalam jangka pendek," katanya.

Di peringkat serantau, mata wang Asia merosot berbanding dolar AS susulan Fed AS menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.

Bagaimanapun, ringgit lebih lemah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0513/0553 daripada 3.0498/0543 pada Rabu dan lebih lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7379/7425 daripada 3.7172/7217.

Ringgit lebih lemah berbanding pound British kepada 5.2968/3036 daripada 5.2852/2915 semalam, dan menyusut berbanding euro kepada 4.7924/7991 daripada 4.7568/7622 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini