Amazon jadi syarikat tersenarai terbesar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Amazon jadi syarikat tersenarai terbesar


NEW YORK 9 Jan. - SYARIKAT e-dagang, Amazon.com Inc. (Amazon) mengatasi Microsoft Corp. untuk muncul sebagai syarikat tersenarai awam terbesar di dunia pada Isnin lalu.

Menurut data Bloomberg, saham Amazon menokok 3.4 pe­ratus menjadikan modal pasarannya sebanyak AS$797 bilion (RM3.28 trilion).

Nilai itu berada di bawah paras tertinggi yang pernah direkodkan iaitu AS$1 trilion (RM4.11 trilion) pada September 2018, namun sudah cukup untuk mengatasi Microsoft yang merekodkan modal pasaran sebanyak AS$789 bilion (RM3.24 trilion).

Saham Microsoft dikatakan sebagai saham paling bernilai di dunia pada November lalu meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus.

Persaingan nilai saham antara syarikat gergasi teknologi dan internet itu untuk berada di kedudukan teratas telah berlaku selama beberapa minggu de­ngan Amazon mendakwa ia berjaya mengatasi Microsoft sejak awal Disember.

Kedua-dua syarikat itu kini adalah lebih besar daripada ­Apple Inc. (Apple) yang telah memegang gelaran itu dalam tempoh yang lama.

Pembuat iPhone itu mempunyai modal pasaran seba­nyak AS$702 bilion (RM2.88 tri­lion) berbanding AS$1.1 trilion (RM4.52 trilion) pada Oktober 2018.

Apple mengalami tekanan luar jangka susulan permintaan iPhone yang lemah di China.

Syarikat itu pada minggu lalu telah mengurangkan unjuran jualannya yang mana ia menyebabkan saham Apple berada pada paras terendah sejak April 2017.

Apple kini berada di kedudukan keempat dalam pasaran saham Amerika Syarikat (AS). Tempat ketiga milik syarikat induk enjin carian Google, Alphabet Inc. dengan modal pasaran sebanyak AS$745 bilion (RM3.06 trilion).

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini