Aset digital tak boleh terima pelabur baharu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Aset digital tak boleh terima pelabur baharu



KUALA LUMPUR 18 Jan. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak membenarkan pengendali platform aset digital untuk menerima pelabur baharu dalam tempoh peralihan sehingga 1 Mac 2019.

Susulan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 yang berkuat kuasa 15 Januari lalu, SC menerima banyak pertanyaan me­ngenai pelaksanaan itu.

SC, justeru, telah menjemput dan terlibat dengan pengendali platform aset digital sedia ada.

Katanya, hasil persetujuan bagi membantu operasi platform berkenaan, satu tempoh peralihan telah ditetapkan sehingga 1 Mac 2019. Ia tertakluk kepada mereka bagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh SC.

“Dalam tempoh itu, pengusaha platform tidak dibenarkan menerima pelabur baharu dan hanya akan dibenarkan untuk memudahkan pengeluaran atau pemindahan aset pelanggan dengan arahan bertulis daripada pelabur.

“Pengendali platform sedia ada yang gagal atau tidak menghadiri sesi bersama SC pada 17 Januari 2019 dinasihatkan meng­hubungi SC dengan segera dan tidak lewat dari 25 Januari ini. Jika tidak operasi mereka disifatkan melanggar undang-undang sekuriti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Apabila garis panduan ber­kaitan telah dikeluarkan, pengendali platform sedia ada perlu memohon kepada SC bagi mendapatkan kebenaran jika mereka bercadang untuk bero­perasi di luar tempoh peralihan.

Bakal pengendali platform aset digital juga boleh memohon kepada SC untuk mendapatkan kebenaran apabila garis panduan dikeluarkan.

SC akan menilai semua permohonan dan hanya memberi kuasa kepada pengendali pasaran yang memenuhi ke­perluan berkaitan.

Mengenai tawaran syiling permulaan (ICO), tidak ada sesiapa boleh melaksanakan ICO tanpa kebenaran SC.

Garis panduan ICO akan dikeluarkan pada akhir suku pertama 2019. Sehubungan itu, aktiviti ICO yang sedang berjalan perlu diberhentikan dan mengembalikan semua wang atau aset digital yang telah dikumpulkan daripada pelabur.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini