Dolar AS lebih lemah pacu ringgit ke paras tertinggi dalam tiga minggu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS lebih lemah pacu ringgit ke paras tertinggi dalam tiga minggu


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup pada paras tertinggi dalam tiga minggu berbanding dolar AS hari ini, didorong peningkatan minat mengambil risiko bagi mata wang negara pesat membangun selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengambil pendirian bahawa kitaran kenaikan kadar faedahnya kini sepatutnya sudah berakhir.

Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.0930/0980 berbanding dolar US daripada 4.1050/1100 pada Rabu.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pengukuhan ringgit selari dengan mata wang serantau yang lain, dengan renminbi China mencatat keuntungan terbesar.

Beliau berkata, pelabur serantau menyambut baik keputusan semalaman Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan untuk mengekalkan kadar faedah, selepas menaikkannya empat kali tahun lalu.

“Ini perubahan dramatik daripada dasar digubalnya baru-baru ini. Pemain pasaran menjangkakan kenaikan, sebaliknya mereka mendapat kejutan yang menggembirakan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0409/0450 berbanding 3.0385/0433 pada Rabu, turun berbanding yen Jepun kepada 3.7699/7749 daripada 3.7530/7586, dan susut berbanding euro kepada 4.7000/0070 daripada 4.6920/6998.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menokok berbanding pound British kepada 5.3688/3758 daripada 5.3804/3886 semasa ditutup semalam berikutan perkembangan Brexit memberi kesan ke atas sentimen pasaran.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini