Ringgit dijangka cecah RM4 akhir 2019 - OCBC - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka cecah RM4 akhir 2019 - OCBC


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengakhiri tahun ini pada paras RM4 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS), kata OCBC Bank.
Ketua Ekonominya, Selena Ling, berkata pengukuhan ringgit itu berdasarkan berdasarkan jangkaan penurunan dolar AS disebabkan kelembapan prestasi pertumbuhan republik itu.
Ling berkata, ia juga sejajar dengan prospek pertumbuhan global yang sederhana di belakang kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) dan ketegangan perdagangan AS-China.
“Ringgit dijangka berada pada RM4.1153 berbanding satu dolar AS pada Mac 2019; RM4.0782 berbanding satu dolar AS pada Jun 2019 dan RM4.0411 berbanding satu dolar AS pada September 2019.
“Ia dijangka akan terus meningkat dan kukuh sehingga mencapai RM4.0039 berbanding satu dolar AS pada penghujung Disember 2019.
“Bagaimanapun, kadar itu perlu ditimbang berdasarkan harga minyak yang lebih rendah,” katanya selepas Taklimat Unjuran Pasaran 2019 OCBC di sini, hari ini.
Ling berkata, kerajaan juga perlu mengkaji sumber pendapatan baharu dan mengelakkan kebergantungan yang terlalu tinggi kepada pasaran minyak.
Ini kerana katanya, kebergantungan terhadap minyak berdasarkan penguasaan tingginya dalam jumlah hasil negara akan memberikan cabaran kepada kerajaan.
“Harga minyak dunia dijangkakan akan terus suram, dan jika ia kekal pada paras semasa sekitar AS$50 setong hingga akhir tahun ini, kerajaan mungkin menghadapi kekurangan hasil,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keperluan kerajaan menyemak semula Belanjawan 2019 disebabkan penurunan ketara harga minyak mentah, Ling berkata, ia tidak akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Ini kerana katanya, AS$70 setong adalah harga sasaran jangka sederhana dan harga minyak kini mengalami kenaikan dan penurunan sejak enam bulan lalu.
Namun katanya, jika dilihat pada harga purata, ia secara relatifnya stabil dan tidak menolak kemungkinan kerajaan akan menyemak semula unjuran harga minyak dalam belanjawan akan datang.
OCBC Bank menjangkakan harga purata West Texas Intermediate pada AS$58 setong tahun ini manakala minyak mentah Brent pada AS$63 setong.
Ling berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pula diunjurkan pada 4.4 peratus tahun ini, disebabkan perkembangan ekonomi global yang perlahan dan penyepaduan fiskal yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Beliau berkata, 2019 kekal menjadi sebagai tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia serta beberapa negara ASEAN.
Unjuran agak rendah itu, katanya disebabkan beberapa faktor luaran seperti krisis perdagangan di antara AS dan China, penyusutan ekonomi China serta prestasi pasaran komoditi yang tidak menentu.
Beliau berkata, walaupun sektor perkilangan meraih penambahan eskport, namun disebabkan perang perdagangan AS-China, ia tidak memberikan kesan besar kepada pertumbuhan.
“Ke hadapan, isu bekalan mungkin akan terus memberi kesan ke atas sektor perlombongan manakala unjuran sektor perkilangan mungkin bergantung kepada hasil rundingan perdagangan.
“Namun penggunaan swasta sekali lagi dijangka kekal sebagai teraju utama pertumbuhan itu, disokong oleh pemindahan sosial kerajaan, pasaran kerja yang stabil serta inflasi yang sederhana.
“Penyatuan fiskal yang berterusan mungkin akan memberi tumpuan kepada pengurangan pembaziran perbelanjaan dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini