Tahun 2018 Golongan Kaya Bertambah Kaya Dan Golongan Miskin Bertambah Miskin.

Lelaki terkaya di dunia dan juga pemilik Amazon, Jeff Bezos menyaksikan kekayaannya meningkat kepada AS$112 bilion (RM461 bilion) pada 2018.

LONDON: Seramai 26 bilionair kini mempunyai kekayaan sama dengan 3.8 bilion penduduk miskin iaitu hampir separuh daripada populasi penduduk dunia, kata badan gabungan kebajikan dunia, Oxfam.

Oxfam berkata, jumlah harta 26 lelaki dan wanita terkaya di dunia adalah £1.1 trilion (RM5.81 trilion) - sama dengan dimiliki 50 peratus penduduk dunia yang miskin.

The Guardian memetik laporan tahunan kekayaan oleh Oxfam yang disiarkan sempena perasmian Forum Ekonomi Dunia di Davos.

Menurut Oxfam, 2018 menjadi tahun golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin.

Katanya, jurang yang semakin besar itu menyukarkan usaha memerangi kemiskinan.

Sekiranya satu peratus cukai dikenakan terhadap mereka, ia bakal mengutip £325 bilion (RM1.72 trilion) setahun, cukup untuk memberi pendidikan kepada setiap kanak-kanak yang tidak bersekolah dan penjagaan kesihatan bagi mengelak tiga juta kematian.

Kekayaan lebih 2,200 bilionair di seluruh dunia juga meningkat kepada AS$900 bilion (RM3.7 trilion) pada 2018 atau AS$2.5 bilion (RM10.3 bilion) sehari.

Peningkatan 12 peratus kekayaan bilionair itu berbeza dengan pengurangan 11 peratus harta dimiliki golongan miskin di seluruh dunia.

Laporan itu merumuskan, jumlah bilionair yang memiliki kekayaan sebanyak yang dimiliki separuh penduduk dunia jatuh daripada 43 orang pada 2017 kepada 26 orang tahun lalu. Pada 2016, jumlah itu ialah 61 orang.

“Cara ekonomi kita dijalankan, kekayaan semakin meningkat dan tidak adil tertumpu kepada sebilangan yang mendapat keistimewaan manakala jutaan lagi hampir tidak mendapat apa-apa,” kata jurucakap Oxfam.

Sementara itu, laporan berkenaan juga mendapati selepas 10 tahun krisis kewangan berlaku, jumlah bilionair meningkat hampir dua kali ganda. Antara 2017 hingga 2018, seorang bilionair dicipta setiap dua hari.

Lelaki terkaya di dunia dan juga pemilik Amazon, Jeff Bezos menyaksikan kekayaannya meningkat kepada AS$112 bilion (RM461 bilion). Hanya satu peratus daripada kekayaannya sama dengan keseluruhan bajet kesihatan Habsyah yang mempunyai 105 juta penduduk.

Lebih 10 peratus golongan miskin di Britain pula membayar lebih banyak cukai efektif berbanding 10 peratus golongan kaya apabila cukai terhadap penggunaan seperti Cukai Nilai Tambah (VAT) diambil kira.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini