Ringgit dibuka lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan mata wang utama lain hari ini berikutan kekurangan penyertaan pasaran, walaupun harga minyak mentah mencatatkan peningkatan dan ekonomi berkembang.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2210/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2200/2250 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit dijangka meningkat kembali apabila meraih manfaat daripada perbezaan pertumbuhan serantau yang lebih baik memandangkan ekonomi China terus pulih dengan pantas.

"Pada masa sama, pasaran global memburu hasil dalam mencari peluang selesa dan selamat bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia berjangka kerana pulangan sebenar yang positif kekal menggalakkan berbanding hasil sebenar berjangka AS yang mencatatkan sebaliknya.

"Susulan kestabilan harga minyak mentah, mata wang yang memberi tekanan kepada ringgit terus bergelut untuk mencatatkan pergerakan kukuh," katanya kepada Bernama.

Penyelidikan oleh Ambank menerusi nota penyelidikan semalam berkata, ringgit akan dipacu oleh pengukuhan mata wang negara Asia yang mendapat manfaat daripada pengurangan kadar faedah, serta perbezaan pertumbuhan antara rantau ini dan ekonomi perindustrian.

Ia berkata, sokongan untuk mata wang tempatan akan bertambah kuat sekiranya pemulihan AS dikekang oleh peningkatan kes COVID-19, sekatan pergerakan tempatan baharu dan lebih banyak program pelonggaran kuantitatif untuk merangsangkan ekonomi oleh Rizab Persekutuan AS.

"Ringgit dijangka mengukuh 0.5 peratus dalam tempoh tiga bulan akan datang dan terus naik sekitar satu peratus dalam tempoh 12 bulan," menurutnya.

Bagaimanapun, risiko penyusutan ringgit akan dipengaruhi oleh gelombang kedua penularan COVID-19 di seluruh dunia yang akan membawa kepada sekatan pergerakan, perang perdagangan, ketegangan geopolitik dan pergerakan harga komoditi mudah terjejas.

Semasa dibuka hari ini, ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.9761/9819 daripada 3.9905/0956 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0669/0710 daripada 3.0649/0694.

Unit tempatan juga lemah berbanding pound Britain kepada 5.5168/5242 daripada 5.5037/5111 pada penutupan semalam selain susut berbanding euro kepada 4.9614/9689 daripada 4.9555/6623.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini