Masa depan mata wang kripto - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Masa depan mata wang kripto


SETAKAT Jumaat lalu, satu Bitcoin (BTC) bernilai RM33,907.58. Justeru mata wang digital itu telah mencetuskan fenomena di seluruh dunia. Melihatkan harganya yang semakin meningkat, ramai tidak mahu ketinggalan untuk memiliki BTC dengan harapan dapat menjadi jutawan segera.

Apa tidaknya, ketika mula diperkenalkan pada 2009, BTC tidak bernilai langsung. Sekitar 2010, harga satu BTC boleh didapati pada harga tidak sampai satu sen pun. Harga satu BTC hanya mencecah AS$1 pada Februari 2011.


Pada Mac 2010, seorang pengguna BTC, “SmokeTooMuch” pernah menawarkan untuk menjual 10,000 BTC dengan harga AS$50 atau lebih kurang RM163 mengikut tukaran mata wang asing pada masa itu. Tetapi tidak ada orang yang berminat untuk membelinya.

Kemudian, pada Mei 2010, seorang pengguna BTC, Laszlo Hanyecz membeli dua keping piza dengan harga 10,000 BTC di Jacksonville, Florida. Itu merupakan pembelian pertama di dunia nyata menggunakan BTC dan menyebabkan nilai mata wang itu meningkat 1,000 kali ganda daripada AS$0.008 kepada AS$0.08 bagi satu BTC.

Tetapi jika anda memiliki 10,000 BTC pada hari ini, anda bukan setakat boleh membeli dua keping piza tetapi boleh membuka rangkaian kedai piza. Nilai 10,000 BTC sekarang ialah RM339.8 juta!

Walaupun tidak diketahui bagaimana BTC akan terus berkembang dalam pasaran kewangan dunia, harga mata wang kripto itu akan terus meningkat kerana terdapat banyak permintaan daripada pelabur baharu dan pengeluarannya yang dihadkan kepada 21 juta sahaja.

Namun kini terdapat lebih 1,172 mata wang kripto di pasaran sekarang dengan modal pasaran melebihi AS$100 bilion (RM412 bilion). BTC memiliki modal pasaran terbesar diikuti Ethereum, Bitcoin Cash, Ripple dan Litecoin.

Pelaburan dalam mata wang kripto bukanlah tidak baik selagi mana anda mengetahui risikonya. Jangan terlalu berharap akan sentiasa beroleh keuntungan sehingga 300 peratus. Prestasi baik pada masa lalu tidak boleh dijadikan indikator untuk masa hadapan.

Sebagai contoh, pada 1630-an, penduduk di Belanda beranggapan tunas bunga tulip hibrid mempunyai nilai tersimpan. Permintaan tinggi terhadap benih bunga tulip menyebabkan harganya meningkat dengan mendadak dan telah menarik ramai spekulator dan pelabur baharu, sama seperti yang berlaku kepada BTC sekarang.

Orang ramai tidak lagi membeli benih bunga tulip untuk ditanam tetapi disimpan untuk meraih keuntungan. Apabila semakin ramai orang membeli tunas bunga tulip yang dianggap sebagai barangan mewah, berlaku gelembung pasaran sehingga harga sekuntum tunas bunga tulip menyamai 10 kali ganda pendapatan pekerja biasa Belanda.

Malah, sebahagian penduduk sanggup menukarkan tanah dengan beberapa kuntum benih bunga tulip. Mereka menyangkakan kenaikan harga benih bunga tulip akan berterusan. Peristiwa itu dikenali sebagai Tulip mania.

Namun, disebabkan pengeluaran tunas bunga tulip tidak dikawal, akhirnya harganya jatuh teruk. Apa yang orang sangkakan sebagai nilai tersimpan akhirnya menjadi tunas yang tidak bernilai.

Kita mungkin sedang menyaksikan gelembung pasaran mata wang kripto sekarang. Harga BTC dan mata wang kripto lain yang melambung tinggi sekarang didorong oleh spekulator.

Kira-kira 90 peratus daripada pemegang BTC adalah spekulator iaitu mereka yang membeli mata wang itu kerana ingin cepat kaya. Hanya 10 peratus pemegang BTC yang menggunakan mata wang itu untuk transaksi. Namun demikian, itu bukanlah satu masalah tetapi masalahnya adalah pembeli BTC.

Lebih 60 peratus pembeli BTC adalah golongan muda berusia di bawah 35 tahun. Paling ramai ialah yang berusia antara 25 hingga 34 tahun iaitu 40 peratus. Itu adalah berdasarkan satu tinjauan yang oleh LendEDU di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa kajian lain.

Jika dibandingkan dengan golongan yang lebih berusia, mereka yang berusia di bawah 35 tahun sudah kurang berpengalaman dalam pengurusan risiko. Harus diingat, mereka itu adalah spekulator dan bukan pengguna BTC dan yang membimbangkan mereka terlibat dalam spekulasi mata wang, antara instrumen kewangan paling tidak menentu.

Disebabkan faktor-faktor berkenaan, sesetengah pihak menjangkakan BTC dan mata kripto lain sedang menuju kehancuran. Pengerusi JP Morgan, Jamie Dimon misalnya, beranggapan BTC adalah satu skim penipuan yang meletup suatu hari nanti.

“Mata wang itu tidak akan berjaya. Kamu tidak boleh ada satu perniagaan di mana orang boleh dengan mudah mencipta mata wang dan beranggapan orang yang membelinya adalah cerdik,” katanya.

Mata wang kripto mempunyai nilai tinggi sekarang kerana ia bebas daripada kawalan bank pusat, kera­jaan mahupun undang-undang. Maka, tidak hairanlah ia turut digu­nakan oleh penjenayah untuk melakukan transaksi dan ‘mencuci’ wang haram.

Kewujudan laman-laman web pasaran gelap termasuk penjualan dadah yang menerima pembayaran menerusi BTC mempengaruhi kenaikan harga mata wang kripto itu. Ini asasnya kerana beberapa kes penutupan laman web tersebut oleh pihak berkuasa menyebabkan kejatuhan harga BTC.

BTC juga pernah jatuh teruk apabila serangan DDoS terhadap laman web transaksi BTC terbesar di dunia ketika itu, Mt. Gox, menyebabkan kehilangan 850,000 BTC bernilai AS$450 juta pada 2014. Sebanyak 250,000 BTC berjaya ditemukan semula dan 650,000 BTC yang hilang itu kini bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.2 bilion).

Namun demikian, disebabkan aktiviti mata wang kripto termasuk mining (perlombongan) berlaku di Internet, sukar untuk kerajaan mengharamkannya. Oleh itu, mustahil keruntuhan pasaran mata wang kripto akan berlaku, melainkan kita kembali ke zaman batu.

Kemungkinan paling masuk akal yang akan berlaku pada masa hadapan ialah semua negara akan mengeluarkan mata wang kripto sendiri yang dikawal selia oleh bank pusat masing-masing. Tindakan itu secara tidak langsung boleh menyebabkan kejatuhan nilai BTC. - Amizul Tunizar Ahmad Termizi


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini