Ringgit mengukuh berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan pemulihan permintaan terhadap unit tempatan itu serta seiring prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik, kata peniaga.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan itu disebut pada 3.9800/9850 berbanding 3.9870/9900 sewaktu ditutup pada Rabu.

Peniaga berkata, pasaran saham dan tukaran asing kembali meningkat berikutan kemelut politik Itali yang semakin reda.

Sebahagian daripada pemulihan itu didorong oleh laporan bahawa dua parti terbabit kini berusaha untuk membentuk kerajaan, sekali gus mengelak negara itu kembali ke medan pilihan raya untuk kali kedua, tahun ini.

Menurutnya, aliran yang cenderung kepada aset selamat turut susut pada Rabu apabila euro kembali menokok hampir 1.0 peratus berbanding dolar AS dan mengatasi semua kerugian dialami pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata ringgit didagangkan dalam keadaan perlahan namun terikat dengan risiko di peringkat global.

"Faktor luaran akan terus mempengaruhi prestasi ringgit dalam masa terdekat ini. Data bukan penggajian AS yang akan diumumkan pada Jumaat ini berkemungkinan besar akan menentukan hala tuju dolar AS," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia rendah berbanding pound Britain kepada 5.2906/2989 daripada 5.2904/2963 dan susut berbanding euro pada 4.6403/6469 daripada 4.6301/6344 pada Rabu.

Ringgit bagaimanapun tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9713/9754 daripada 2.9714/9741 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.6608/6664 daripada 3.6645/6680, semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini