Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama kecuali dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit agak lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di awal dagangan pagi ini disebabkan permintaan lemah dan susulan data ekonomi yang menunjukkan penyusutan dalam sektor pembuatan Malaysia bagi Mei.

Pada 9.15 pagi, ringgit di sebut pada harga 3.9740/9780 berbanding dolar AS daripada 3.9700/9740 penutup Isnin.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran di FXTM Global, Jameel Ahmad, berkata sektor pembuatan kini mengalami penyusutan untuk empat bulan berturut-turut.

"Berita bahawa tempahan baharu mencatat penyusutan terbesar sejak lewat 2016, mencadangkan sektor itu akan berhadapan situasi itu untuk beberapa waktu lagi. Adalah terlalu awal untuk membincangkan sama ada kesengsaraan dihadapi sektor pembuatan itu akan menarik turun potensi Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Pelabur menanti laporan imbangan perdagangan utama yang akan diumumkan hari ini bagi mendapat panduan berhubung prestasi ekonomi pada suku kedua 2018," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9734/9782 daripada 2.9747/9781 dan menokok berbanding yen kepada 3.6157/6197 daripada 3.6213/6259.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound British kepada 5.2890/2959 daripada 5.3146/3208 dan mengukuh berbanding euro pada 4.6456/6507 daripada 4.6564/6619.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini