Ringgit dijangka teruskan kelemahan hingga akhir tahun


KUALA LUMPUR: Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang memuncak awal bulan lalu dan berkemungkinan menjadi lebih buruk dijangka menambah lagi kelemahan ringgit, kata Ahli Ekonomi RHB Research Institute, Peck Boon Soon.

Beliau berkata, ringgit mungkin akan terus berdepan kelemahan dalam tempoh terdekat dan dijangka akan susut kepada RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.

“Kami percaya pengukuhan dolar AS akan bertahan untuk satu tempoh masa, memandangkan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menaikkan kadar faedah dua kali lagi tahun ini dan tiga kali pada 2019. Selain itu, perang perdagangan dilihat akan berpanjangan dan tidak akan berakhir dalam masa terdekat ini.

“Yuan China susut 3.2 peratus sejak akhir Jun hingga 8 Ogos lalu berikutan perang perdagangan dan kebimbangan berhubung impak pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu. Ini akan mengheret mata wang serantau lain termasuk ringgit, disebabkan oleh jangkaan langkah menurunkan nilai mata wang yang kompetitif,” katanya dalam satu nota.

Di peringkat domestik, beliau berkata beberapa perubahan dasar dan pertukaran ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijangka menyebabkan aktiviti ekonomi yang perlahan untuk bulan-bulan akan datang.

Perkembangan itu, katanya ditambah pula dengan inflasi yang berkurangan disebabkan penetapan harga bahan api RON95 memberikan bayangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin tidak memiliki banyak ruang untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) lagi pada tahun ini.

“Dalam hal ini, kami percaya ringgit perlu menanggung hampir seluruh beban penyesuaian disebabkan oleh aliran keluar modal yang berpunca daripada tindakan bank pusat mengetatkan dasar, sekali gus menyebabkannya terus lemah,” katanya.

Ringgit, sama seperti mata wang ekonomi sedang pesat membangun lain, berada dalam trend yang lemah beberapa bulan kebalakangan ini berikutan kedudukan dolar AS yang lebih teguh sambil Fed memberikan bayangan melaksanakan dasar lebih agresif selepas menaikkan kadar faedah buat kali kedua Jun lalu.

Boon Soon berkata, terdapat potensi ringgit akan melebihi sasaran akhir tahun RHB pada RM4.10, namun mata wang tempatan itu dijangka tidak akan bertambah lemah terlalu teruk.

“Ia memandangkan Malaysia terus menikmati lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran. Perubahan dalam dasar terkawal tukaran asing, yang mana pengeksport perlu menukar 75 peratus hasil ke dalam ringgit akan membentuk aliran permintaan dagangan wang yang tulen bagi mata wang tempatan.

“Jika aliran keluar modal tidak terlalu serius, aliran masuk dagangan wang akan membantu menyokong ringgit. Tambahan pula, harga minyak lebih tinggi akan menyokong ringgit, kerana ia membantu mengukuhkan keyakinan pelabur dan menyumbang pendapatan lebih tinggi untuk kerajaan, selain lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini