Ringgit ditutup lebih tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar dengan prestasi kukuh di pasaran ekuiti tempatan ditambah dengan dolar AS yang rendah sedikit, kata para peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.0980/1020 berbanding dolar AS daripada 4.1070/1100 pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell yang dilihat sebagai tidak cenderung menaikkan kadar faedah untuk menyokong kenaikan dolar AS, telah membantu meningkatkan mata wang Asia yang diterajui baht Thai dan Won Korea.

Sementara itu, Ketua Dagangan Asia Pasifik Oanda, Stephen Innes berkata meskipun pasaran saham meningkat di pasaran sedang pesat membangun tidak semua pasaran mata wang tempatan mencatatkan prestasi yang sama.

"Walaupun dolar AS yang lemah sedikit dan hasil AS rendah, ringgit gagal menarik banyak minat kerana perhatian tempatan tertumpu kepada baht Thai berikutan spekulasi Bank of Thailand akan menaikkan kadar faedah.

"Hakikatnya ringgit masih dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, terutamanya kemungkinan AS akan mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion tidak lama lagi," katanya kepada Bernama.

Unit tempatan ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali pound British.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9998/0038 daripada 2.9950/9980 pada Jumaat minggu lalu dan turun berbanding euro kepada 4.7606/7657 daripada 4.7502/7553.

Unit tempatan jatuh berbanding yen kepada 3.6876/6922 daripada 3.6851/6887 tetapi meningkat berbanding pound British kepada 5.2622/2694 daripada 5.2668/2723, sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini