Ringgit ditutup rendah berbanding dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, memandangkan mata wang negara maju itu memperolehi permintaan lebih baik ketika minat risiko berkurangan dalam pasaran tukaran asing, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1270/1320 berbanding dolar AS daripada 4.1080/1110 pada Khamis.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik Oanda, Stephen Innes berkata mata wang Asia, termasuk ringgit, lemah hari ini dalam keadaan pengambilan untung semasa kenaikan awal.

“Pelabur tempatan juga cuba menghadapi kesan dolar AS yang lebih kukuh, kesan negatif pasaran pesat membangun yang berlarutan serta kemungkinan peningkatan ketegangan perdagangan AS-China,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, terdapat banyak data ekonomi yang akan menjadikan pelabur kekal aktif, iaitu Indeks Pengurus Pembelian Nikkei pada Ogos (3 Sept); imbangan perdagangan ​​​​​​​pada Julai (5 Sept); keputusan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) (5 Sept); rizab asing (6 Sept); pengeluaran perindustrian untuk Julai (7 Sept); dan indeks harga pengguna untuk Ogos (19 Sept).

“Keputusan kadar faedah oleh BNM pada 5 September boleh memberi sedikit petunjuk selain laporan Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua yang lebih rendah serta inflasi yang berkurangan.

“Pasaran bon dan mata wang bersedia bagi kecenderungan kadar faedah rendah daripada Gabenor BNM, ​​​​​​Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus,” katanya.

Bagi risiko luaran penting, beliau berkata ringgit sewajarnya kurang terdedah kepada risiko luaran berbanding mata wang serantau disebabkan kenaikan harga minyak mentah.

Ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0089/1132 daripada 3.0073/1100 pada Khamis dan rendah berbanding euro kepada 4.7865/7931 daripada 4.8055/8099.

Nota tempatan turun berbanding the yen Jepun kepada 3.7167/7215 daripada 3.6820/6863 dan kukuh berbanding pound Britain kepada 5.3123/3191 daripada 5.3462/3525.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini