Arah mana potensi ringgit Malaysia? - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Arah mana potensi ringgit Malaysia?



JIKA diperhatikan, sememangnya nilai ringgit berada pada keadaan yang tidak menentu dan pernah turun sehingga ke paras RM4.15 yang penulis harap dapat diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.

Ini kerana nilai matawang ringgit yang stabil amat diperlukan untuk mengekalkan pelaburan sedia ada selain untuk menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

Apa yang perlu difahami oleh kita sebagai rakyat Malaysia? Secara teorinya, kebanyakan arah aliran naik turun ringgit sebelum ini banyak bergantung kepada harga minyak dunia. Berdasarkan rekod, ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik dan begitulah sebaliknya.

Bagaimanapun, arah aliran tersebut diperhatikan sudah bertentangan ke­rana walaupun sekarang harga minyak terus naik sehingga AS$78 satu tong, nilai ringgit tidak berjaya untuk naik, bahkan terus turun malah pernah turun sebanyak 30 sen menjadi RM4.15.

Bagaimanakah arah aliran atau kadar tukaran ringgit ini bergerak? Sejarah menunjukkan pertukaran wang asing telah bermula seawal termeterainya Perjanjian Bretton Woods. Perjanjian ini ditandatangani pada Julai, 1944 di Bretton Woods, New Hampshire.

Melalui perjanjian inilah kadar pertukaran wang asing (KPWA) yang bersifat tegar, ditukar kepada yang boleh diubah. Matlamat utama perjanjian ini adalah untuk mengekalkan kestabilan pertukaran wang asing (PWA) serta mewujudkan keharmonian perdaga­ngan antarabangsa dalam kalangan negara di dunia ini.

Bagaimanapun, Sistem Bretton Woods ini hanya bertahan sehingga akhir 1973. Dengan terlerainya perjanjian Bretton Woods, maka bermulalah era KPWA terapung yang menyebabkan ketidakpastian yang luas dalam pasaran pertukaran wang asing.

Ringgit Malaysia (RM) mula diapung pada 20 Jun 1973. Sejak itu KPWA bagi RM berada dalam keadaan yang tidak stabil dan lebih terarah kepada susut nilai berbanding kebanyakan mata wang asing yang lain.

Susut nilai RM ini juga dikaitkan de­ngan beberapa dasar kerajaan pada masa itu yang lebih menggalakkan peningkatan eksport. Ini adalah ke­rana nilai RM yang rendah akan membolehkan barangan keluaran Malaysia bersaing di pasaran antarabangsa dari aspek harga dan menarik pelaburan asing ke negara ini. Pun sebenarnya telah menguntungkan negara.

Pada 5 September lalu, kadar RM berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) telah jatuh ke paras antara yang terendah yang pernah dicatatkan iaitu ke paras RM 4.1460. Malah ringgit juga telah muncul sebagai mata wang keempat di rantau ini yang mencatat prestasi terburuk selepas baht, yuan dan rupee apabila menyusut 4.6 pe­ra­tus antara April hingga Jun di­sebabkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan cabaran di peringkat domestik.

Selain itu, keadaan ekonomi negara dan rantau ini dilihat kurang stabil akibat krisis kejatuhan nilai lira iaitu mata wang Turki juga telah menyumbang terhadap kejatuhan ringgit. Lira jatuh kerana ke­tegangan ekonomi antara Turki dan AS. Mana-mana negara yang mempunyai jumlah hutang yang besar dalam dolar AS akhirnya terpaksa menerima tekanan akibat pengukuhan dolar AS serta kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

Selain faktor luaran, kita juga perhatikan faktor dalaman seperti pembentukan kerajaan baharu juga dipercayai memberi kesan terhadap prestasi ringgit dan juga bursa tempatan. Kerajaan yang mesra pelabur diperlukan untuk terus menyumbang kepada pembentukan ekonomi negara bagi meletakkan ringgit berada di kedudukan bawah RM4 berban­ding dolar.

Berdasarkan keadaan semasa, keyakinan terhadap ringgit dilihat kekal rendah untuk tempoh tiga hingga enam bulan. Perubahan terhadap beberapa dasar negara dan pembaharuan yang telah dilaksanakan kerajaan seperti penangguhan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Laluan Tiga MRT (MRT3) disamping kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta semakan berterusan terhadap projek mega juga dilihat sebagai penyumbang kepada ketidaktentuan pasaran ringgit.

Persekitaran dasar yang stabil dilihat sebagai faktor positif yang dapat mempengaruhi kepercayaan kredit Malaysia di samping pres­tasi fiskal pada masa hadapan. Kestabilan politik ini akan membantu sesebuah kerajaan untuk terus merumus serta melaksanakan dasar-dasar yang tepat pada masanya secara lebih berkesan.

Analisis matawang semasa menunjukkan besar kemungkinan ringgit akan terus menerima tekanan terutama daripada ketidaktentuan ekonomi global. Pada ketika ini ringgit berada di bawah nilai berdasarkan kepada kuasa pembelian yang tidak seimbang dan kadar tukaran asing sebenar.

Bagaimanapun trend ini boleh dita­ngani sekiranya faktor dalaman me­nunjukkan pertumbuhan ekonomi di peringkat domestik, inflasi yang stabil, pula­ngan yang positif dan Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus untuk tempoh sepanjang tahun ini.

Sebenarnya asas-asas ekonomi masih kukuh dan Malaysia mampu menyerap ketidaktentuan pasaran. Ini kerana walaupun prestasi ringgit bergantung kepada faktor luaran akan tetapi faktor domestik juga berperanan untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Nilai ringgit yang rendah walaupun memberi kelebihan kepada eksport dalam masa yang sama turut menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal. Akhirnya dalam sebuah kitaran ekonomi yang bergerak seperti sebuah bulatan, rakyatlah yang bakal menanggung segala beban ini.

Apa yang dapat dipastikan, ekonomi negara dalam masa terdekat ini akan terus berdepan dengan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan akibat daripada ketegangan perdaga­ngan yang ketara, kisah lapuk prestasi lemah sektor perlombongan dan pertanian serta ketidakpastian terhadap beberapa dasar negara.

Semua ini bakal menyaksikan situasi pasaran kewangan negara yang lebih mencabar menjelang 2019 yang bakal muncul beberapa bulan lagi.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya terus peka terhadap situasi semasa agar tidak membuat sebarang keputusan kewangan yang boleh membocorkan poket sendiri.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini