Ringgit cecah paras terendah 11 bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cecah paras terendah 11 bulan


KUALA LUMPUR: Ringgit terus susut untuk hari dagangan ke lapan, mencecah paras terendah 11 bulan berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) yang semakin kukuh.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1740/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1770 Jumaat.

Peniaga berkata, dolar AS terus mengukuh dengan mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS berkembang 3.5 peratus pada suku ketiga, dengan inflasi rendah dan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna.

"Ini menjurus kepada pengukuhan dolar AS dan menarik lebih ramai pelabur ke AS," katanya kepada BERNAMA.

Katanya, sungguhpun harga minyak menokok kepada AS$77.94 satu tong, pelabur masih tidak memasuki pasaran, menanti pengumuman Bajet 2019 Jumaat ini.

"Sehingga hari bajet, adalah dijangka pelabur akan mengambil sikap tunggu dan lihat, dalam cubaan memahami hala tuju kerajaan baharu," katanya.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih lemah berbanding mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0222/0256 daripada 3.0154/0189 Jumaat, tetapi berbanding yen ia mengukuh kepada 3.7281/7327 daripada 3.7282/7321.

Ringgit menguncup berbanding pound British kepada 5.3544/3612 daripada 5.3419/3495 dan susut berbanding euro pada 4.7538/7596 daripada 4.7384/7438. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini