Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan berterusan terhadap unit negara maju itu, kata para peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit susut kepada 4.1580/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1600 pada Jumaat lalu.

Ketua Perdagangan OANDA bagi Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (Fed) pada minggu lalu mengesahkan bahawa ekonomi AS adalah kukuh dan pihak Fed juga cenderung untuk meneruskan rancangan mereka berhubung dasar itu secara berperingkat.

“Kadar faedah misalnya berkemungkinan akan terus meningkat berikutan latar belakang ekonomi AS yang kukuh dan hanya mengekalkan sokongan terhadap dolar AS berkenaan,” katanya.

Di peringkat tempatan, beliau menyifatkan langkah kerajaan mengurangkan sasaran pertumbuhan ekonomi dan serta mengetepikan rancangan untuk mengimbangi bajet menjelang 2020, juga dilihat tidak banyak membantu pasaran kewangan negara ini.

“Tambahan pula dengan prospek seperti cukai keuntungan modal serta cukai penggunaan lainnya pada masa akan datang, juga membuktikan mengapa pasaran ekuiti Malaysia mengalami tekanan,” kata Innes.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen Jepun.

Ringgit naik berbanding yen kepada 3.6973/7019 daripada 3.6982/7027 pada Jumaat lalu.

Ia bagaimanapun rendah berbanding pound Britain kepada 5.4283/4356 daripada 5.4132/4205 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0163/0197 berbanding 3.0129/0169, sebelum ini.

Berbanding euro, ringgit susut kepada 4.7825/7888 daripada 4.7619/7674.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini