Ringgit teruskan penurunan berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Aliran ringgit terus menurun sejak semalam untuk ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas permintaan untuk mata wang dolar itu kekal kukuh, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, ringgit diurus niaga pada 4.1400/1430 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1420 yang dicatatkan Isnin.
"Para pelabur global seolah-olah mengekalkan kedudukan walaupun pasaran mencerminkan keyakinan ke atas Perjanjian Dagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).
"Ini telah memberi kesan ke atas aset-aset pasaran baru muncul termasuk Malaysia," kata Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga.
Katanya, mata wang ekonomi pesat membangun yang sekarang ini terjejas akibat defisit akaun semasa 'seperti menunggu kesan buruk seterusnya', kerugian dalam ringgit pula dijangka tidak memburuk, memandangkan Malaysia menikmati lebihan akaun semasa.
"Ringgit berprestasi agak baik hari ini, tidak seperti mata wang Asia Tenggara yang lain seperti rupiah Indonesia dan dolar Singapura yang teruk ditekan.
"Secara teknikal, pelabur akan terus memantau prestasi dolar US/ringgit apabila ia mencecah tahap sokongan 4.1350 dan tahap rintangan 4.1430," kata Lukman.
Berbanding dengan sekumpulan mata wang utama, ringgit telah didagangkan bercampur-campur.
Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0100/0129 daripada 3.0198/0238 yang dicatatkan pada Isnin tetapi menyusut berbanding yen kepada 3.6399/6438 daripada 3.6295/6340.
Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.3634/3677 daripada 5.3976/3049 tetapi berbanding euro, ia menurun kepada 4.7668/7715 daripada 4.8059/8118, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini