Transaksi melebihi RM25,000 perlu lapor BNM mulai tahun 2019



KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, semua transaksi yang melebihi RM25,000 di mana-mana institusi kewangan perlu dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Kadar itu direndahkan berbanding RM50,000 ketika ini bagi mengekang sebarang jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan di negara ini.

Mengumumkan perkara itu, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, sebanyak RM10 trilion (ASD2.6 trilion) hilang serata dunia selama ini akibat jenayah kewangan.

Sehubungan itu, langkah mengurangkan kadar penghantaran wang dan menetapkan had penghantaran ke RM25,000 sehari boleh membantu membendung sebarang risiko jenayah kewangan.

Bercakap pada Persidangan Jenayah Kewangan & Pembiayaan Pengganas (IFCTF) ke-10 di sini hari ini, Nor Shamsiah menyarankan agar semua pihak memainkan peranan dalam menangani jenayah kewangan.

“Kami mahu semua pihak faham betapa pentingnya risiko jenayah kewangan ini.
"Walaupun ramai mengatakan mereka sudah tahu mengenainya, tetapi risiko yang berkaitan dengan jenayah kewangan masih lagi dianggap remeh.

"Keadaan ini harus diubah jika kita benar-benar mahu menangani jenayah ini,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar semua pihak ambil tahu tentang perkembangan dunia kewangan yang memberi laluan kepada cara penjenayah menipu orang ramai.

Antaranya, kata Nor Shamsiah, adalah penipuan di sektor perbankan internet.

“Di Malaysia contohnya, transaksi perbankan internet adalah sebanyak 500 juta pada 2016.

"Kini, angka itu telah meningkat ke 1.2 bilion transaksi sehingga Ogos tahun ini.

"Ini menjadikan risiko penipuan kewangan dan jenayah kewangan semakin meningkat," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penganjur IFCTF V. Maslamani  menggambarkan situasi di mana Malaysia mengambil isu Pematuhan, atau Compliance, dengan lebih serius.

“Suara untuk Malaysia menjadi lebih patuh semakin kuat,” kata Maslamani.

Persidangan dua hari IFCTF ini menyaksikan penglibatan 17 buah negara dan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang jenayah kewangan.

IFCTF dianjurkan bersama oleh Asian Institute of Finance (AIF), Compliance Officers’ Networking Group (CONG) dan disokong oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Persidangan ini turut menyaksikan penglibatan ahli penganjur dari Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Bursa Malaysia, Persatuan Bank Islam Malaysia (IBFIM), Securities Industry Development Corporation (SIDC) dan Persatuan Insuran Hayat Malaysia (LIAM). 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini