Ringgit dibuka rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan dolar terus teguh sebagai mata wang selamat di tengah ketidakpastian ekonomi luar.

Pada 9.00 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1460 / 1500 berbanding dolar AS daripada 4.1350 / 1390 pada penutupan hari Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Purchasing Managers' Index (PMI) pengilang yang dikeluarkan pada minggu ini menunjukkan trend melemah dalam sentimen pengeluar.

“PMI global baru-baru ini yang jatuh ke 51.5 mata pada bulan Disember, mencadangkan pengeluar menjadi semakin waspada terhadap prospek perniagaan. Ia telah mendorong perubahan ke aset berkualiti, dengan itu membuat dolar AS kekal menarik sebagai aset selamat," katanya.

Begitu juga, katanya, PMI Malaysia juga menurun kepada 46.8 mata pada Disember dan kekal di bawah paras garis batas 50 mata selama tiga bulan berturut-turut.

Ini bermakna pengeluaran akan terjejas kerana perniagaan mungkin mahu menyimpan inventori rendah mereka dan dengan lanjutan, perbelanjaan modal dan pengambilan pekerja akan minimum.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8474 / 8522 daripada 3.7950 / 7997 pada Rabu dan lebih rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0327 / 0367 daripada 3.0331 / 0371.

Ringgit naik berbanding pound kepada 5.2032 / 2099 daripada 5.2473 / 2540 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7028 / 7082 daripada 4.7275 / 7334 pada hari Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini