Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, memandangkan pelabur mengalihkan tumpuan kepada mata wang selamat berikutan ketidaktentuan ekonomi global selain data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) yang dikeluarkan semalam lemah, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1410/1460 berbanding dolar AS, susut 60 mata asas daripada 4.1350/1390 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata dolar AS mungkin mengalami tekanan pada bulan-bulan akan datang, selepas mencatatkan prestasi kukuh pada 2018.

Ia adalah susulan penurunan prospek kenaikan kadar faedah pada 2019 oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) sekali gus mendorong hasil Perbendaharaan negara itu turun kepada 2.63 peratus, paras terendah dalam tempoh hampir setahun pada Rabu, katanya.

Pelabur turut memantau sebarang petunjuk daripada Pengerusi Fed, Jerome Powell berkaitan kemungkinan kenaikan kadar faedah pada mesyuarat Persatuan Ekonomi Amerika dan Persatuan Sains Bersekutu di Atlanta pada Jumaat.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2090/2173 daripada 5.2473/2540 pada Rabu dan tinggi berbanding euro kepada 4.7104/7165 daripada 4.7275/7334.

Ringgit stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.0321/0369 daripada 3.0331/0371 semalam dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.8457/8514 daripada 3.7950/7997.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini