Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan lemah memandangkan peniaga lebih berminat untuk menunggu hasil rundingan perdagangan peringkat tertinggi terkini antara AS dan China.

Semasa ditutup, ringgit susut kepada 4.0740/0780 berbanding dolar AS daripada 4.0650/0690 semalam.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad, berkata ringgit tetap terdedah kepada risiko global utama yang boleh menentukan sentimen pasaran secara ketara, seperti krisis perdagangan AS-China, pertumbuhan sederhana di China serta pendirian Rizab Persekutuan AS mengenai dasar monetari.

“Berdasarkan situasi luaran yang menunjukkan petanda kemerosotan, ini mungkin memberi tekanan negatif kepada mata wang tempatan pada masa depan.

“Daripada perspektif teknikal, USD/MYR dijangka menyaksikan pergerakan rintangan segera pada paras 4.0872, purata pergerakan dalam tempoh 200 hari.

“Pergerakan berterusan melepasi 4.0675, paras ketika ditutup pada Rabu, mungkin memberi peluang ringgit mencecah paras psikologi penting 4.05,” katanya dalam satu nota.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9980/0014 daripada 2.9982/0016 semalam serta naik berbanding yen Jepun kepada 3.6703/6742 daripada 3.6724/6764.

Ringgit stabil berbanding euro kepada 4.5881/5947 daripada 4.6016/6073 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.2282/2353 daripada 5.2382/2437 pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini