Ringgit mengukuh berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar prestasi serantau ketika mana ia menunggu perkembangan perjanjian perdagangan AS-China.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0880/0930 berbanding 4.0890/0940 semasa penutupan Jumaat.

Peniaga berkata, ini berlaku selepas agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa pelabur akan memantau perkembangan di AS dan China berikutan panggilan telefon antara Naib Perdana Menteri China Liu He dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin dan Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer.

"Dikatakan kedua-dua pihak membuat kemajuan lanjut berhubung konteks perjanjian perdagangan," katanya kepada BERNAMA.

Bagaimanapun, katanya kemajuan yang positif mungkin hanya bersifat sementara kerana perkara mungkin berubah pada bila-bila masa.

"Ini bukan kali pertama pasaran bertindak balas terhadap berita berhubung konflik perdagangan AS-China dan berharap hasil positif," katanya.

Sementara itu, beliau menambah bahawa ringgit juga banyak dipengaruhi harga minyak yang lebih tinggi, krisis minyak sawit dengan Kesatuan Eropah (EU) serta pergerakan yuan China.

"Peningkatan harga minyak mempunyai had dan kemungkinan besar ia tidak akan melepasi penanda aras AS$70 satu tong dalam masa terdekat.

“Isu minyak sawit dengan EU dikhuatiri memberi kesan ke atas perdagangan lain juga. Bagi mengukuhkan lagi nilai ringgit, dasar tempatan yang mantap mesti dilaksanakan untuk memperoleh keyakinan pasaran," katanya.

Setakat 9 pagi, harga minyak mentah Brent berada pada AS$67.05 satu tong berbanding AS$67.18 Jumaat lalu.

Di peringkat tempatan, pelabur juga menunggu pengumuman Indeks Harga Pengguna Februari pada 22 Mac.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan lebih rendah.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6647/6699 daripada 3.6623/6671, menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4325/4396 daripada 5.4220/4307 Jumaat lalu.

Nota tempatan juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0210/0249 daripada 3.0197/0245 manakala berbanding euro ia sedikit mengukuh kepada 4.6280/6341 daripada 4.6287/6360.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini