Ringgit hampiri paras terendah dalam tiga bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit hampiri paras terendah dalam tiga bulan



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup pada paras hampir terendah dalam tempoh tiga bulan berbanding dolar AS hari ini, dijejaskan oleh sentimen lemah terhadap unit tempatan itu susulan kebimbangan mengenai kemungkinan penyedia indeks global, FTSE Russell menurunkan penarafan bon Malaysia.

Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.1330/1360 berbanding dolar AS daripada 4.1310/1350 yang dicatatkan sewaktu penutupan pada Selasa.

Unit tempatan itu diniagakan pada paras 4.1410/1450 berbanding dolar US pada 24 Jan, 2019.

Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan penarafan itu telah mempengaruhi selera risiko pelabur selain menjejaskan sentimen kelemahan dolar AS tersebut.

Walaupun impak itu disifatkan sebagai berkemungkinan sementara, beliau sebaliknya menjangkakan aliran penyusutan ringgit itu akan berlanjutan sehingga akhir minggu ini.

“Aliran (jualan) dana asing kita sudah stabil dan sepatutnya keadaan serupa itu akan turut dialami aliran keluar dana tersebut. Kebimbangan ini (mengenai FTSE Russell) adalah reaksi atau tindak balas sementara.

“(Namun) kerajaan perlu menangani kebimbangan pengurus bon serta meningkatkan keyakinan mereka,” katanya.

Menerusi Penilaian Klasifikasi Pendapatan Tetap Negara pertamanya, FTSE Russell meletakkan Malaysia dan China di bawah senarai pemantauan pasaran pendapatan tetap yang akan dinilai bagi tujuan potensi perubahan terhadap Paras Akses Pasaran masing-masing.

“Pada masa ini Malaysia diletakkan pada kedudukan ‘2’ dan dimasukkan ke dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI), namun dipertimbang untuk diturunkan ke tahap ‘1’ yang akan menjadikan Malaysia tidak lagi layak untuk disenaraikan dalam WGBI.

“FTSE Russell berkata ia akan terus terlibat dengan pengawal selia tempatan dan peserta pasaran di Malaysia dan China bagi menilai potensi perubahan terhadap senarai negara itu,” kata penyedia indeks global itu pada 15 April lalu.

Nazri Khan berkata data ekonomi China yang kukuh terbukti membantu menampung sentimen terhadap ringgit pada hari ini.

Ekonomi China berkembang pantas daripada unjuran awal 6.4 peratus bagi tiga bulan pertama tahun ini ketika langkah-langkah rangsangan mulai ketara dalam aktiviti ekonomi negara itu, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai pemulihan di negara ekonomi kedua terbesar dunia berkenaan.

Sementara itu ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lainnya.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6892/6925 daripada 3.6923/6963 pada Selasa dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3890/3946 daripada 5.4033/4102 sebelum ini.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0551/0583 daripada 3.0485/0526 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.6736/6774 daripada 4.6639/6688.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini