Ringgit mata wang kedua terbaik ASEAN - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mata wang kedua terbaik ASEAN

KUALA LUMPUR: Ringgit muncul mata wang kedua terbaik di ASEAN dan ketiga terbaik di rantau Asia pada suku pertama tahun ini, selepas mengukuh 1.26 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan, berkata unit mata wang tempatan itu disokong oleh penilaian ekonomi domestik yang kukuh, inflasi yang terkawal dan perbelanjaan domestik yang berkembang pesat, memberi asas yang kukuh kepada prestasi ringgit sepanjang tahun 2019.

Katanya, walaupun mata wang tempatan itu terdedah kepada faktor luaran seperti dolar AS yang terus mengukuh, ketegangan perdagangan AS-China dan kelembapan ekonomi China, kebimbangan terhadap perang perdagangan membantu melonjakkan ringgit dan mata wang utama Asia lain pada suku pertama tahun ini.

“Pada pertengahan April, berita utama mengenai prospek Malaysia yang diturunkan daripada Indeks Bon Kerajaan Global, FTSE Russell dan dana kekayaan Norway mungkin mendorong aliran keluar selanjutnya yang menyumbang kepada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS daripada tiga bulan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi ringgit di sini, hari ini.

Bath muncul mata wang ASEAN terbaik pada suku pertama tahun ini dengan merekodkan kenaikan 2.55 peratus.

Mengulas lanjut, Tan berkata, ringgit dijangka diniagakan antara 4.10 dan 4.15 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2019, didorong oleh pertumbuhan ekonomi, inflasi terkawal dan penggunaan domestik yang mantap dengan semua faktor berkenaan dijangka memberi asas kukuh untuk ringgit sepanjang tahun ini.

Katanya, momentum jualan besar-besaran ringgit dijangka hanya sementara apabila laporan ekonomi pada April dijangka menyelaraskan semula kitaran dagangan ringgit.

“Sebahagian besar momentum jualan besar-besaran minggu lalu semakin hilang dan faktor luaran akan terus menjadi faktor utama pengukuhan ini,” katanya.

Sementara itu, mata wang bagi lima ekonomi utama ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura dijangka terus mengaut keuntungan berbanding dolar AS pada suku kedua 2019 berikutan prestasi yang lebih baik dicatatkan setakat ini.

Tan berkata, ekonomi lima negara ini perlu mendapat sokongan daripada ekonomi China yang menunjukkan tanda-tanda stabil, meskipun beberapa ekonomi utama ASEAN menikmati penampan dasar rizab asing dan dasar kewangan yang mencukupi untuk melindungi mata wang negara itu daripada risiko penurunan harga.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini