Ringgit teruskan penurunan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan penurunan



KUALA LUMPUR: Ringgit terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan peniaga mata wang masih enggan mengambil risiko selepas pengumuman data indeks pengeluaran perindustrian (IPP) bagi Februari yang agak lembap, termasuk unjuran pertumbuhan global yang lemah oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pada 6 petang, ringgit mencatatkan pengurangan sebanyak 0.17 peratus untuk ditutup pada 4.1120/1160 berbanding dolar AS daripada 4.1050/1100 sebelumnya.

Ketua Urus Niaga dan Strategi Pasaran SPI Asset Management, Stephen Innes berkata data IPP Februari menyumbang kepada kemerosotan ringgit, kerana mampu mencetuskan lebih banyak aliran keluar ekuiti daripada stok sektor perlombongan dan tenaga yang penting.

IPP Malaysia naik sebanyak 1.7 peratus dari tahun ke tahun pada bulan Februari, mencatatkan pertumbuhan yang paling tidak memberangsangkan sejak Jun 2018, berikutan indeks sektor pembuatan dan elektrik berkembang pada kadar yang lebih perlahan manakala perlombongan mencatatkan kejatuhan yang agak ketara.

Innes berkata indeks tersebut berkembang dengan lebih perlahan daripada jangkaan 2.2 peratus, ini menyokong pandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menerima pakai kecenderungan untuk kadar faedah yang lebih rendah disebabkan kejatuhan Indeks IPP ini boleh mengenakan kesan-kesan negatif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, yang sentiasa menjadi metrik utama yang dirujuk oleh BNM.

"Apabila digabungkan dengan kemungkinan kadar faedah yang lebih rendah daripada BNM, data IPP tersebut dilihat telah mencerminkan isyarat negatif kepada para peniaga mata wang," katanya kepada Bernama sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan nilai ringgit adalah selaras dengan keadaan mata wang serantau, memandangkan naratif risiko kemerosotan dilihat semakin nyata, berdasarkan kepada semakan semula ramalan pertumbuhan global IMF yang terkini.

"Bank Pusat Eropah dan Rizab Persekutuan AS juga dilihat agak berwaspada dengan baki risiko yang agak condong kepada sisi negatif berdasarkan kepada kenyataan baru-baru ini.

“Oleh itu, keadaan sekarang adalah bersifat pengurangan risiko dan kami percaya pasaran tukaran mata wang asing sudah menjadi terlalu berisiko, menyebabkan permintaan yang lebih tinggi bagi mata wang selamat," katanya.

Minggu ini, IMF telah menurunkan ramalan pertumbuhan KDNK global bagi 2019 kepada 3.3 peratus daripada ramalan sebelumnya iaitu sebanyak 3.5 peratus dibuat pada Januari tahun ini.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama

Ia menurun berbanding yen Jepun kepada 3.7008/7048 daripada 3.6939/6987 dan menyusut berbanding pound British kepada 5.3826/3883 daripada 5.3673/3755 yang direkodkan sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga jatuh berbanding euro kepada 4.6367/6428 daripada 4.6292/6361 dan berbanding dolar Singapura, ia merosot kepada 3.0383/0417 daripada 3.0347/0393.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini