Konflik AS-China tekan ringgit, Bursa Malaysia



KUALA LUMPUR: Mata wang dan pasaran saham tempatan dijangka terus tertekan berikutan konflik dagangan dua kuasa ekonomi terbesar dunia, susulan tindakan yang disifatkan penganalisis sebagai ‘pembulian Trump ke atas China’.

Ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus lemah menghampiri paras sokongan RM4.20 apabila mencecah RM4.1933 petang ini.

Sentimen negatif turut menyelubungi pasaran tempatan dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,601.87, selepas membuka dagangan pagi ini di bawah paras 1,600 mata.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata susulan ketidaktentuan berterusan ekonomi dunia, ringgit diunjurkan terus berada dalam kedudukan lemah berbanding dolar AS, iaitu sekitar RM4.21 menjelang akhir tahun ini.

Katanya, permintaan terhadap mata wang lindung nilai seperti dolar AS, yen dan Swiss Franc bakal menyaksikan permintaan tinggi, sekali gus menyebabkan mata wang asing khususnya negara sedang membangun seperti Malaysia terjejas.

Bahkan, katanya, pelabur juga memerhatikan pergerakan nilai mata yuan, yang dilihat semakin lemah berbanding dolar AS, selain wujud kebimbangan China mungkin menggunakan instrumen bukan tarif seperti “merendahkan nilai mata wangnya” bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Situasi perang perdagangan antara AS dan China sememangnya sesuatu sukar diduga, walaupun sebelum ini perbincangan kedua pihak dikatakan konstruktif, namun naratif berubah pantas apabila pentadbiran AS menaikkan tarif kepada 25 peratus bagi import dari China bernilai AS$200 bilion.

“Diburukkan lagi jangkaan AS menaikkan tarif import daripada China bernilai AS$300 bilion selepas komen awam Jun nanti dan tindakan menyenarai hitam Huawei, menyebabkan ekonomi global berdepan risiko pertumbuhan perlahan kerana tarif ini meningkatkan kos perniagaan dan menjejaskan kelancaran rantaian perniagaan yang saling berkait antara satu sama lain.

“Maka, pelabur akan lebih berhati-hati dalam pasaran mata wang asing atau membuat keputusan pelaburan selain kecenderungan mempunyai lebih pendedahan terhadap instrumen pelaburan pendapatan tetap,” katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota analisisnya berkata, paras sokongan psikologi FBM KLCI dilihat pada paras 1,600 dan pihaknya menjangkakan keadaan semasa akan bertahan berikutan kurangnya pemangkin.

Katanya, pasaran serantau akan terus tidak menentu selagi Presiden AS, Donald Trump mengekalkan pendiriannya yang dilihat sebagai ‘membuli China dan negara lain’.

“Berdasarkan perkembangan terbaharu terhadap Huawei, perkara yang sama boleh berlaku kepada syarikat China yang lain dan itu akan mencetuskan ketidaktentuan pada dua ekonomi terbesar dunia dan turut sama menjejaskan syarikat AS,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini