Pelabur beralih beli emas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pelabur beralih beli emas


KUALA LUMPUR: Harga emas kembali melonjak dengan jangkaan meningkat melepasi paras AS$1,300 (RM5,419) ekoran peralihan pelaburan pelaburan global susulan ketegangan perang perdagangan Amerika Syarikat dan China yang semakin memuncak.

Penganalisis Penyelidikan di FXTM, Lukman Otunuga, berkata harga emas sudah melonjak sejak minggu lalu berikutan ia dianggap sebagai instrumen pelaburan paling selamat dalam ketidaktentuan pasaran global ketika ini.

“Minat pelaburan dalam logam berharga itu semakin meningkat kerana kebimbangan perang dagang AS-China yang mana akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi global,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang dikeluarkan hari ini.

Peningkatan ketegangan susulan rundingan sukar antara AS dan China terus memberi impak kepada perdagangan dan pertumbuhan global.

Tindakan kedua negara kuasa besar ekonomi dunia itu akan terus menjejaskan pasaran.

Otunuga berkata, perang dagangan itu turut menjejaskan prestasi niaga hadapan minyak mentah dengan Brent jatuh sebanyak 6.0 peratus selepas mencapai harga tertingginya pada 25 April iaitu AS$74.75 satu tong. Kini harga minyak mentah berada di sekitar AS$70 satu tong.

“Pasaran minyak mentah kini berdepan risiko geopolitik di Timur Tengah, gangguan bekalan di Nigeria, Venezuela dan OPEC.

“Peningkatan risiko ketidaktentuan daripada perkembangan perdagangan AS-China juga telah menampakkan prospek permintaan global untuk minyak dan ia terus menimbang harga pasaran komoditi itu.

“Semua kini tertumpu kepada mesyuarat jawatankuasa OPEC+ minggu ini di Jeddah di mana pelabur akan meneliti petunjuk baru tentang masa depan kempen pemotongan pengeluaran OPEC+,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini