Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR 3 Mei - Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah kekuatan dolar AS mengatasi kebanyakan mata wang lain, ketika pasaran terus mengubahsuai kedudukan berikutan Rizab Persekutuan tidak cenderung untuk menaikkan kadar faedah, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1410/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1355/1385 yang dicatatkan semalam.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, pengukuhan dolar AS telah memberi kesan ke atas banyak mata wang Asia dan ringgit tidak terkecuali daripada faktor-faktor luaran yang mungkin menyebabkan kenaikan sukar diraih pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Malaysia boleh bergantung kepada asas-asas ekonomi domestiknya bagi menolak kembali kemaraan arus dolar AS, berdasarkan kepada angka Indeks Pengurus Pembelian Malaysia Nikkei yang agak positif seperti yang dikeluarkan semalam termasuk peningkatan dalam data perdagangan luar Malaysia pada Mac.

Sementara itu, ringgit telah didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali yen Jepun.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0355/0379 daripada 3.0372/0406 dan melonjak berbanding pound British kepada 5.3792/3843 daripada 5.3985/4032.

Mata wang tempatan juga menokok berbanding euro kepada 4.6185/6230 daripada 4.6318/6368 tetapi merosot berbanding yen kepada 3.7142/7179 daripada 3.7073/7103.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini