Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus turun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila pelabur kekal tidak memasuki pasaran susulan pengumuman penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.1470/1500 berbanding paras penutup 4.1460/1490 pada Isnin.

Seperti yang dijangkakan, BNM hari ini menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, pelarasan OPR itu bertujuan untuk melindungi tahap akomodatif monetari.

“Ini konsisten dengan pendirian dasar monetari menyokong pertumbuhan kukuh dalam keadaan harga stabil,” kata bank pusat.

Kali terakhir BNM membuat perubahan kepada kadar OPR adalah pada 25 Januari 2018, apabila ia menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

MIDF Research berkata, langkah BNM untuk mengurangkan kadar faedah utama hari ini akan merancakkan aktiviti pelaburan dan penggunaan domestik pada 2019, terutamanya pada separuh kedua tahun ini.

Sementara itu, seorang peniaga berkata penurunan harga minyak juga memberi kesan kepada ringgit. Ketika ini, minyak mentah Brent diniagakan 0.8 peratus lebih rendah kepada AS$70.68 setong.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0446/0472 daripada 3.0412/0440 pada Isnin dan susut berbanding yen kepada 3.7506/7540 daripada 3.7429/7466.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4288/4340 daripada 5.4317/4373 tetapi susut berbanding euro kepada 4.6455/6505 daripada 4.6406/6444.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini