Ringgit diunjur lemah berbanding dolar AS minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam sentimen lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan ketika pelabur global terus berusaha mendapatkan potensi hubungan dagangan AS-China bagi kemajuan masa depan serta implikasinya terhadap pertumbuhan global.

Penganalisis FXTM, Han Tan, berkata sentimen pasaran secara meluas serta faktor luaran lain dijangka memberi impak terhadap prestasi ringgit dengan sebarang risiko negatif terhadap ringgit akan menyaksikannya di paras 4.15 berbanding dolar AS.

Di peringkat ekonomi domestik, beliau berkata semua mata akan tertumpu kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama (Q1) Malaysia yang akan diumumkan pada Khamis.

“Pasaran mahu melihat keupayaan Malaysia menepis ketegangan perdagangan yang masih belum selesai antara ekonomi utama dalam tempoh tiga bulan pertama 2019 dan sebelum tarif lebih tinggi dikenakan AS terhadap barangan China pada Mei.

“Bagaimanapun, untuk melihat impak tarif baharu AS dikenakan terhadap barangan China yang berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan global, maka sebarang kesan negatif dialami ekonomi Malaysia mungkin dapat dikekang oleh langkah pihak pembuat dasar selain memastikan pertumbuhan domestik itu akan kekal kukuh,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS ketika pelabur tidak memberi sebarang reaksi terhadap pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada 7 Mei lepas, BNM mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kali terakhir OPR disemak semula adalah pada 25 Januari 2018, apabila BNM meningkatkan 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Selain itu, prestasi ringgit turut dipengaruhi oleh kebimbangan pelabur mengenai peningkatan pertikaian perdagangan AS dan China.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut kepada 4.1570/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1410/1440, sebelum ini.

Ringgit juga didagangkan lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit turut rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0503/0534 daripada 3.0355/0379 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7843/7880 daripada 3.7142/7179.

Berbanding pound Britain, ringgit juga rendah kepada 5.4091/4147 daripada 5.3792/3843 dan susut berbanding euro kepada 4.6683/6733 daripada 4.6185/6230.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini