Ringgit catat pengukuhan kecil - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit catat pengukuhan kecil


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong minat diperbaharui daripada pelabur asing berhubung prospek ekonomi Malaysia.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1760/1880 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1800 penutup Isnin.

Peniaga berkata, sentimen meningkat disebabkan kenyataan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melakukan lawatan kerja ke London dan menyatakan pelabur di United Kingdom (UK) yakin dengan potensi ekonomi Malaysia dan menunjukkan minat untuk melabur di negara ini.

"UK menjadi rakan dagangan dan pelaburan yang penting kepada Malaysia. Sentimen positif ini bukan saja dikongsi UK tetapi pelabur global lain berikutan mereka perlu mencari lokasi lebih selamat untuk melabur disebabkan ketegangan perdagangan yang meningkat," katanya.

Beliau berkata, ketegangan perdagangan antara AS dan China mula memberi impak kepada pelbagai sektor terutamanya teknologi dan pembuatan dan Malaysia dapat meraih manfaat daripadanya.

Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping dijangka mengadakan pertemuan di Sidang Kemuncak G20 di Osaka pada 28 dan 29 Jun, dan penganalisis mengharapkan gencatan ke atas perang perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi itu.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang lain.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.2355/2421 daripada 5.2576/2635 penutup semalam, bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.6871/6925 daripada 4.6828/6866.

Unit tempatan rendah berbanding yen kepada 3.8471/8518 daripada 3.8448/8486 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0471/0506 daripada 3.0467/0493.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini