Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar dengan kebanyakan mata wang Asia berikutan keyakinan terhadap kemajuan rundingan perdagangan AS-China apabila pemimpin kedua-dua negara itu dijadualkan bertemu lewat minggu ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1380/1420 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1480/1510 pada Jumaat minggu lalu.

Seorang peniaga berkata, Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jingping dijangka bertemu di luar acara Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun, memberi harapan dalam kalangan pelabur bahawa mesyuarat itu mungkin membawa kepada penangguhan sebarang kenaikan lagi tarif AS dan membuka ruang untuk menyambung semula rundingan selepas menemui kegagalan pada Mei.

“Jangkaan pasaran rundingan perdagangan akan disambung semula bakal meningkatkan yuan dan mata wang Asia lain pada minggu ini, susulan suasana suram sebelum ini berikutan kelembapan perdagangan global dan hubungan perdagangan AS-China yang memburuk,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan daripada Rizab Persekutuan AS yang cenderung kepada pengurangan kadar faedah juga menyebabkan penurunan dolar dan membawa kepada peningkatan aliran masuk modal bagi aset serantau berisiko, terutamanya mata wang.

Pada penutup, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0555/0595 daripada 3.0545/0576 pada Jumaat tetapi mengukuh berbanding yen kepada 3.8547/8588 daripada 3.8568/8607.

Ringgit menyusut berbanding pound Britain kepada 5.2797/2864 daripada 5.2505/2552 dan turun berbanding euro kepada 4.7140/7202 daripada 4.6864/6915.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini