Ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan hari ini sejajar prestasi rakan serantaunya susulan sentimen positif daripada pertemuan akan datang antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping yang mana mereka dijangka membincangkan berhubung pertikaian perdagangan antara kedua-dua negara.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1730/1760 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1830 pada penutup Selasa.

Peniaga berkata, pertemuan yang akan diadakan pada 28 dan 29 Jun di Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun diharap mempunyai penyelesaian kepada perang perdagangan yang meningkat membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu.

"Kami berharap gencatan dicapai dan ketegangan akan berkurangan," katanya.

Sentimen positif dalam kalangan pelabur turut mendorong kepada peningkatan harga minyak.

Sehingga 9 pagi, penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$62.49 satu tong berbanding AS$60.46 satu tong semalam.

Selain perang perdagangan, laporan berhubung kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah (ECB) telah meningkatkan sentimen pelabur terhadap pasaran sedang pesat membangun.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Berbanding pound, mata wang tempatan susut kepada 5.2421/2476 daripada 5.2355/2409 Selasa, tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.6729/6780 daripada 4.6745/6795.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0518/0551 daripada 3.0471/0497 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.8436/8474 daripada 3.8596/8635 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini