Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan prestasi kebanyakan mata wang negara Asia sedang pesat membangun susulan penurunan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1100/1130 berbanding dolar AS daripada paras penutup Khamis pada 4.1130/1150.

Beliau berkata, dolar AS menyusut kerana tumpuan kekal pada pertikaian perdagangan yang melibatkan AS dan jangkaan semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan kadar faedah.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata walaupun petunjuk ekonomi AS positif bagi Jun, Fed dijangka mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas pada akhir Julai, manakala pasaran menjangkakan pengurangan sebanyak 50 mata asas.

“Pendirian yang memihak kepada kadar faedah rendah dalam kalangan pegawai Fed, yang menyebabkan penyusutan dolar AS, memberi laluan kepada kebanyakan mata wang Asia mencatatkan peningkatan mingguan berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya sekitar paras 4.11 berbanding dolar AS minggu ini.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0236/0269 daripada 3.0234/0253 pada Khamis dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.8165/8607 daripada 3.8161/8187.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.1474/1519 daripada 5.1269/1310 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6184/6234 daripada 4.6189/6228. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini