Ringgit ditutup rendah susulan penurunan kadar faedah Fed - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah susulan penurunan kadar faedah Fed



KUALA LUMPUR: Ringgit seperti dijangka ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas pada awal Khamis, ditambah perbincangan perdagangan AS-China yang berakhir tanpa sebarang hasil yang pasti.

Pada 6 petang, ringgit jatuh 190 mata asas untuk ditutup pada paras 4.1440/1470 daripada 4.1250/1280 semasa ditutup pada Rabu.

Rakan kongsi pengurusan Vanguard Markets Pte Ltd, Stephen Innes, berkata penyusutan mata wang tempatan adalah selari dengan mata wang Asia yang lain, berikutan tiada aktiviti pembelian mata wang tinggi susulan langkah pengurangan kadar faedah oleh Fed.

"Jika kita gabungkan ini dengan hasil yang kurang meyakinkan daripada rundingan perdagangan pada minggu ini di Shanghai, ia memberikan kesan negatif berganda kepada ringgit," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan perunding perdagangan AS dan China merancang untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan perdagangan di Washington pada awal September selepas mesyuarat dua hari di Shanghai berakhir tanpa sebarang pencapaian signifikan.

Selain itu, Innes berkata: "Dengan pasaran minyak mentah pada aliran menurun, ia bukan hari yang baik untuk mata wang Asia, khususnya ringgit."

Penanda aras minyak mentah Brent turun kepada AS$64.40 setong pada 6.19 petang hari ini.

Semasa urus niaga ditutup, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama kecuali dolar Singapura.

Ia naik berbanding yen kepada 3.7984/8021 daripada 3.7997/8029 pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.5741/5779 daripada 4.5969/6019 dan naik berbanding pound kepada 5.0126/0179 daripada 5.0189/0242.

Berbanding dolar Singapura, mata wang tempatan tidak berubah pada 3.0134/0167 daripada 3.0134/0162 sebelumnya

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini