Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, memperoleh asas pergerakan meningkat susulan dolar yang lemah.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1750/1800 berbanding dolar AS daripada 4.1810/1860 pada Selasa.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes, berkata pasaran akhirnya mula memberi perhatian kepada realiti ekonomi di Malaysia yang bercampur-campur namun kukuh berasaskan taklimat Bank Negara Malaysia minggu lalu mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua 2019.

Ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.5 peratus pada suku pertama dipacu oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun ringgit turut seiring dengan dolar AS yang sedikit lemah memandangkan renminbi China diniagakan tinggi sedikit hari ini, cuba memanfaatkan kelemahan dolar AS seperti ditunjukkan dalam pasaran semalaman AS.

“Selain itu penyusutan inventori minyak mentah AS dilihat menyokong kenaikan harga minyak, yang sentiasa mendorong kenaikan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Innes berkata, ringgit dibelenggu kesukaran disebabkan perang perdagangan.

Oleh itu hasil positif daripada rundingan perdagangan AS-China akan datang sewajarnya mendorong sebarang kenaikan bermakna bagi unit tempatan, katanya.

Selain itu, pelabur juga menunggu ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell semasa simposium Jackson Hole, Wyoming pada Jumaat.

“Di akhir persidangan Jackson Hole itu, pelabur akan mengharapkan penggabungan terlaras antara dasar fiskal dan monetari, namun secara minimum. Di samping itu, untuk negara terbabit mempunyai fiskal yang mencukupi, acara berkenaan perlu menghasilkan pelan suntikan bagi Fed,” katanya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.9202/9264 daripada 3.9321/9372 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.6317/637 daripada 4.6334/6393.

Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0186/0226 daripada 3.0164/0204 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.0634/0703 daripada 5.0569/0646.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini