Ringgit kekal lemah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini apabila dolar AS tetap teguh, selain kebimbangan baharu berhubung pertikaian perdagangan AS-China.
Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 4.1500/1530 berbanding dolar AS daripada 4.1440 / 1470 penutup Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kebimbangan perang perdagangan AS-China pusingan baharu menyusuli ciapan Tweeter terbaru Presiden Donald Trump, yang mana beliau berkata akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus ke atas import China bernilai AS$300 bilion pada 1 September.
"Ini mencadangkan bahawa ringgit akan kekal lemah berbanding dolar AS. Mod risiko dijangka berkekalan kerana kadar tarif tambahan ke atas China itu akan menaikkan kos perniagaan dan berpotensi menjejaskan momentum pertumbuhan global," katanya.
Keseluruhannya, ringgit juga didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia lemah berbanding dolar Singapura pada 3.0184/0210 daripada 3.0134/0167 Khamis dan susut nilainya berbanding euro pada 4.6015/6065 daripada 4.5741/5779.
Mata wang tempatan jatuh berbanding yen pada 3.8734/8773 berbanding 3.7984/8021 dan susut berbanding pound British kepada 5.0327/0380 daripada 5.0126/0179 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini