Harga emas menokok - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas menokok



BENGALURU: Harga emas melonjak lebih satu peratus hari ini apabila pelabur bergegas membeli aset selamat selepas serangan hujung minggu ke atas kemudahan pemprosesan minyak Arab Saudi menjurus kepada risiko ganggu bekalan tenaga global, selain faktor ketegangan di Asia Barat.

Harga emas semerta menokok 1.2 peratus kepada AS$1,506.87 satu auns, pada 0050 GMT, dan berada di landasan untuk mencatat kenaikan harian terbesar sejak 23 Ogos.

Niaga hadapan emas Amerika Syarikat (AS) meningkat 1.1 peratus kepada AS$1,516.10.

Puak Houthi berkata ia menyerang dua loji minyak di tengah-tengah pusat industri minyak Arab Saudi Sabtu lalu, memberi kesan kepada lebih separuh pengeluaran negara itu.

Presiden Donald Trump Ahad lalu, berkata AS bersedia bertindak balas ke atas serangan di Arab Saudi, yang mana pegawai kanan pentadbirannya menyalahkan Iran.

Harga minyak melonjak ke paras tertinggi enam bulan pada Isnin, sementara dagangan hadapan Wall Street merudum.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS akan bermesyuarat pada Selasa dan Rabu, dengan sidang akhbar oleh Pengerusi Jerome Powell dijadualkan selepas itu.

China akan mengecualikan beberapa produk pertanian daripada tarif tambahan ke atas barangan AS, termasuk daging khinzir dan kacang soya, kata agensi berita Xinhua News Agency Jumaat lalu, isyarat terbaru dalam meredakan ketegangan AS-China.

Perdana Menteri China Li Keqiang berkata, adalah "sangat sukar" bagi ekonomi China berkembang pada kadar enam peratus atau lebih kerana asas yang tinggi dari mana ia bermula dan berlatar belakangkan senario antarabangsa yang rumit.

Dewan Perdagangan British merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini dan 2020 , menyalahkan ekonomi global yang perlahan, ketegangan perdagangan AS-China dan isu Brexit yang berlanjutan.

SPDR Gold Trust, dana yang didagangkan bersandarkan emas terbesar di dunia, berkata pegangannya turun 0.67 peratus kepada 874.51 tan pada Jumaat.

Dana lindung nilai dan pengurus dana menurunkan kedudukan bulis dalam kontrak emas dan perak COMEX pada minggu sehingga 10 September, demikian menurut Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (CFTC) AS Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini