Harga minyak dunia melambung tertinggi sejak Perang Teluk



SEOUL: Harga minyak mentah mencatatkan peratusan kenaikan terbesar sejak sejak Perang Teluk pada 1991, selepas kejadian serangan ke atas kemudahan minyak milik Arab Saudi, yang menyumbang kira-kira 5.0 peratus bekalan dunia, pada Sabtu.

Penanda aras kontrak niaga hadapan Brent meningkat 19.5 peratus kepada AS$71.95 satu tong, peratus kenaikan harian terbesar sejak 14 Januari 1991. Kontrak bulan hadapannya pula adalah AS$66.20 satu tong, naik AS$5.98 atau 9.9 peratus daripada sebelumnya.

Sementara itu, satu lagi penanda aras, kontrak niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) naik melambung 15.5 peratus kepada AS$63.34 satu tong. Kenaikan harian terbesar sejak 22 Jun 1998. Kontrak bulan depan adalah AS$59.73 satu tong, naik AS$4.88 atau 8.9 peratus.

Arab Saudi adalah pengeksport minyak mentah terbesar dunia dan serangan terhadap loji pemprosesan milik Saudi Aramco di Abqaiq dan Khurais menjejaskan pengeluaran sebanyak 5.7 juta tong sehari.

Setakat ini, Aramco tidak memberikan sebarang tempoh untuk ia pulih kembali sepenuhnya.

Sumber rapat perkara itu memberitahu, ia boleh mengambil tempoh beberapa ‘minggu, bukan hari’.

Eksport minyak Arab Saudi akan berterusan seperti biasa minggu ini kerana Kerajaan Saudi menggunakan stok dari kemudahan penyimpanannya yang besar, demikian mengikut sumber industri.

“Bagaimana Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi berurusan dengan keadaan ini akan diperhatikan dengan teliti,” kata Margaret Yang, Penganalisis Pasaran CMC Markets di Singapura.

“Sekiranya harga minyak kekal pada paras tinggi, ekonomi Asia yang bergantung kepada minyak seperti China, Jepun, India, Korea Selatan dan Filipina akan mula berasakan bahang kerana ia akan menambah beban kos,” kata Yang.

Presiden AS, Donald Trump, berkata beliau meluluskan langkah penyaluran minyak dari Rizab Petroleum Strategik AS (SPR), jika diperlukan, dalam kuantiti yang akan ditentukan kelak.

“Serangan ke atas loji minyak utama Arab Saudi, termasuk kemudahan pemprosesan minyak petroleum terbesar di Abqaiq, datang dari arah Iran, dan peluru berpandu mungkin digunakan untuk serangan itu,” kata seorang pegawai kanan AS.

Laporan awal menunjukkan serangan itu datang dari Yaman.

Trump juga berkata, AS bersedia untuk memberi respon kepada serangan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi itu. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini