Ringgit dijangka meningkat secara sederhana minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka meningkat secara sederhana minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meningkat namun secara sederhana minggu depan, dipacu oleh asas domestik yang kukuh serta harga minyak mentah lebih tinggi.

Pakar Strategi Pasaran Asia-Pasifik Axi Trader, Stephen Innes berkata mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) minggu depan amat dijangka menjadi keputusan dasar bank pusat itu.

“Beberapa bank berpandangan MPC akan memutuskan pengurangan kadar walaupun data Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku kedua mengejutkan, sementara yang lain cenderung supaya kadar sedia ada dikekalkan” katanya

BNM dijadualkan mengadakan mesyuarat MPC kelima pada 12 September ini, Khamis depan.

Pada 7 Mei lalu, BNM mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus, penurunan kadar yang pertama sejak Julai 2016.

Innes berpendapat pengurangan kadar itu boleh dilihat positif untuk ringgit memandangkan ekonomi Malaysia berdaya tahan dan ini dapat menambah baik sentimen dan pelaburan ekuiti.

“Sentimen semakin baik secara ketara dalam masa yang singkat, kita mungkin melihat ringgit diuji pada paras 4.1650 jika renminbi terus mengukuh susulan garis panduan People’s Bank of China (PBoC) dan ketiadaan kejutan ciapan dari Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Twitter,” katanya.

PBoC, dalam laman webnya berkata ia akan mengurangkan nisbah keperluan rizab (RRR) sebanyak 50 mata asas untuk semua bank, dengan tambahan pengurangan 100 mata asas lagi bagi beberapa bank yang layak, berkuat kuasa 16 September.

Susulan langkah itu, bank pusat China itu telah mengurangkan RRR sebanyak tujuh kali sejak awal 2018.

Pasaran akan ditutup pada Isnin memandangkan cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pasaran akan beroperasi semula pada Selasa.

Bagi minggu yang baru berakhir, unit tempatan meneruskan prestasi positif berbanding dolar AS disokong permintaan pelabur yang kukuh terhadap mata wang tempatan.

Ringgit mengakhiri minggu ini dengan prestasi lebih tinggi iaitu pada 4.1780/1830 berbanding dolar AS daripada 4.2030/2080 pada Jumaat minggu lalu.

Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama lain, kecuali pound British.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0221/0261 daripada 3.0281/0319 pada Jumaat lalu, serta tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.9050/9101 daripada 3.9487/9545.

Unit tempatan juga kukuh berbanding euro kepada 4.6079/6147 daripada 4.6393/6465 minggu lalu bagaimanapun ringgit susut berbanding pound British kepada 5.1385/1463 daripada 5.1230/1308. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini