Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan wujudnya perkembangan positif membabitkan rundingan dagangan AS-China.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata China kini memaparkan pendirian lebih perlahan pada Khamis bagi mengelak ketegangan dagangan itu terus meruncing.

“Kedua-dua pihak dijangka menyambung semula satu lagi pusingan rundingan dagangan pada September iaitu menjelang tarikh akhir tarif tambahan AS terhadap barangan China.

“Kami menjangkakan perang dagangan itu menyaksikan sentimen lebih baik yang akan menjadikan pasaran tempatan meningkat menjelang cuti hujung minggu yang panjang,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, China menyatakan bahawa ia tidak akan memberi reaksi balas segera terhadap kenaikan tarif terbaharu sepertimana diumumkan oleh Presiden Donald Trump minggu lalu.

Bagi Beijing, apa yang lebih utama adalah membincangkan langkah bagi memansuhkan duti tambahan tersebut.

Sementara itu, pasaran tukaran asing akan ditutup pada Isnin bagi cuti ganti sempena Awal Muharam yang jatuh pada Ahad. Pasaran itu akan dibuka semula pada Selasa.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran tempatan itu susut ketika para pelabur terus menunggu perkembangan membabitkan perang dagangan AS-China.

Ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih lemah pada paras 4.2030/2080 daripada 4.1900/1930 pada Jumaat minggu depan.

Unit tempatan itu turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0281/0319 daripada 3.0213/0237 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.9487/9545 daripada 3.9284/9327.

Ringgit itu juga rendah berbanding pound Britain kepada 5.1230/1308 daripada 5.1147/1201 serta susut berbanding euro kepada 4.6393/6465 daripada 4.6333/6383.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini