Ringgit lanjutkan aliran meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lanjutkan aliran meningkat


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menaik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh perkembangan positif membabitkan rundingan perdagangan AS-China.

Pada 6 petang, ringgit meningkat 140 mata asas atau 0.33 peratus untuk ditutup pada 4.1880/1910 berbanding dolar AS berbanding 4.2020/2050 pada penutupan semalam.

Pakar Strategi Pasaran Axi Trader Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata berita mengenai kesediaan China dan AS untuk kembali ke meja rundingan membawa sentimen positif kepada pasaran.

“Namun, mungkin tidak ada keputusan konkrit yang dicapai pada peringkat ini. Oleh itu, dolar AS dibeli pada harga rendah iaitu 4.19,” katanya

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan China, kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan rundingan perdagangan peringkat tertinggi di Washington pada awal Oktober.

Berbanding kumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi ketika ditutup.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0249/0275 berbanding semalam pada 3.0311/0341 dan lebih kukuh berbanding euro kepada 4.6244/6294 daripada 4.6306/6343.

Bagaimanapun, ringgit ditutup tinggi berbanding yen pada 3.9302/9341 daripada 3.9556/9588 semalam, namun lebih rendah pada 5.1508/1558 kepada 5.1214/1267 berbanding pound.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini