Ringgit merosot pada pembukaan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit merosot pada pembukaan



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar pasaran serantau dengan mana pelabur terus menilai semula parameter risiko masing-masing berikutan peristiwa hujung minggu di Arab Saudi dan menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS berhubung kadar faedahnya esok.

Ketegangan di Asia Barat meningkat selepas serangan dron ke atas dua kemudahan pemprosesan minyak utama di Arab Saudi.

Pada 9 pagi, ringgit merosot kepada 4.1710/1750 berbanding dolar AS daripada 4.1630/1660 pada Jumaat.

Pasaran ditutup Isnin sempena sambutan Hari Malaysia.

Penganalisis pasaran kanan kawasan Asia Pasifik di OANDA, Jeffrey Halley, berkata pasaran akan memberi tumpuan kepada tajuk utama minyak semalaman digabungkan dengan mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang bermula hari ini.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu lalu, sambil menyatakan bahawa ekonomi global berkembang pada kadar yang lebih sederhana di tengah-tengah pertumbuhan yang perlahan di kebanyakan ekonomi maju dan negara membangun.

Mesyuarat MPC terakhir untuk tahun ini akan diadakan pada 5 November dengan kebanyakan ahli ekonomi percaya bank pusat mungkin mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.8549/8590 daripada 3.8550/8581 penutup Jumaat dan mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0310/0350 daripada 3.0318/0345.

Nota tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.1800/1866 daripada 5.1829/1883 dan menokok kepada 4.5919/5967 daripada 4.6205/6255 berbanding euro.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini