Ringgit terus mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan prestasi pengukuhannya untuk hari ketiga berturut-turut apabila ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh permintaan pelabur yang ketara terhadap unit tempatan berkenaan, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.1780/1830 berbanding dolar AS daripada paras 4.1880/1910 sewaktu ditutup semalam.

Pakar Strategi Pasaran Asia-Pasifik Axi Trader, Stephen Innes, berkata tindakan People's Bank of China (PBoC) untuk terus melaraskan renminbi pada paras yang disifatkan sebagai 'mesra pasaran’ iaitu 7.08 berbanding dolar AS, sekali gus membantu menjadikan risiko serantau lebih stabil.

Mengikut laman sesawang PBoC, ia akan menurunkan nisbah keperluan rizab (RRR) sebanyak 50 mata asas (bps) bagi semua bank dengan potongan tambahan 100 bps bagi bank tertentu berkuat kuasa pada 16 September ini.

Menerusi langkah terkini itu, bank pusat China itu telah melakukan tujuh potongan RRR sejak awal 2018.

Innes berkata, aliran pergerakan dolar AS secara amnya adalah rendah berbanding mata wang ASEAN menjelang rundingan dagangan Washington-Beijing pada Oktober ini.

“Sentimen risiko meningkat ketara dan bertumpu kepada laporan mengenai rundingan dagangan baharu itu ketika pelabur lebih tertarik kepada aset lebih berisiko yang hanya menguntungkan ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit turut ditutup mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0221/0261 daripada 3.0249/0275 yang dicatat pada Khamis dan naik berbanding yen kepada 3.9050/9101 daripada 3.9302/9341.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound kepada 5.1385/1463 daripada 5.1508/1558 serta meningkat berbanding euro kepada 4.6079/6147 daripada 4.6244/6294.

Pasaran akan ditutup pada Isnin depan bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan dibuka semula pada Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini