Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, mendapat manfaat daripada perubahan yang sebahagian besarnya didorong oleh berita positif berkaitan rundingan perdagangan antara AS dan China, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1800/1840 berbanding dolar US daripada 4.1850/1880 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ahli Strategi Pasaran AxiTrader Asia Pacific, Stephen Innes, berkata ini susulan daripada laporan baru-baru ini yang memetik Naib Perdana Menteri China, Liu He, yang berkata China akan bekerjasama dengan AS untuk menangani kebimbangan utama kedua-dua pihak berdasarkan kesaksamaan dan saling menghormati.

“Bagaimanapun, saya agak terkejut ringgit tidak bergerak dengan lebih kukuh, tetapi ini mungkin mempunyai kaitan dengan harga minyak yang rendah.

“Jika momentum rundingan perdagangan positif ini berterusan, saya fikir ringgit akan diniagakan lebih kukuh berbanding dolar AS tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Sehingga 6.30 petang, penanda aras minyak mentah Brent merosot 1.11 peratus kepada AS$58.76 setong berikutan tanda-tanda bekalan minyak global yang mencukupi, selain kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi China yang perlahan.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding euro kepada 4.6678/6731 daripada 4.6571/6621 dan merosot berbanding pound British kepada 5.4269/4333 daripada 5.3999/4042 pada Jumaat lalu.

Unit tempatan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.0713/0751 daripada 3.0644/0670 sebelum ini, bagaimanapun naik berbanding yen kepada 3.8493/8541 daripada 3.8518/8553.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini