Ringgit kembali meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali meningkat



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut di tengah penyusutan unit negara maju itu menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) lewat hari ini.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.1785/1815 berbanding dolar AS daripada 4.1810/1850 ketika ditutup pada Selasa.

Strategis pasaran Axicorp bagi Asia Pasifik Stephen Innes, berkata dagangan pasaran berada dalam keadaan lengang dengan jajaran kecil ketika kebanyakan peniaga memilih berada di luar pasaran menjelang pengumuman FOMC hari ini.

“Namun, adalah mencabar untuk melihat perubahan keadaan dagangan menjelang persidangan mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Chile (pada November) melainkan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell memberi kejutan kepada pasaran dengan mengubah pendirian Fed yang bergantung kepada hasil data,” katanya.

FOMC dijangka mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata untuk kali ketiga berturut-turut sejak Julai.

Sementara itu, unit tempatan didagangkan paling rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.8381/8419 daripada 3.8397/8444 pada Selasa namun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0672/0699 daripada 3.0659/0693 semalam.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.3840/3895 daripada 5.3596/3664 dan menyusut berbanding euro kepada 4.6431/6473 daripada 4.6305/6366.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini