Ringgit kembali tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini, menjejaki yuan China yang kukuh berbanding mata wang Amerika Syarikat (AS) itu selepas China mengumumkan langkah-langkah untuk meningkatkan ekonominya, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1830/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1890 semasa ditutup pada Rabu.

Ahli Strategi Pasaran AxiTrader Asia Pacific Stephen Innes berkata bagaimanapun, dagangan yuan China sensitif kepada sentimen risiko global yang naik dan turun.

“Secara amnya, pasaran terus bergelut dengan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi global yang kekurangan momentum.

“Pada masa ini, saya tidak melihat apa-apa kejayaan untuk ringgit hingga fasa satu perjanjian perdagangan AS-China dimeterai pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November,” katanya.

Innes berkata sentimen positif juga boleh disumbangkan oleh laporan berita baru-baru ini mengenai Jepun akan menyokong Thailand untuk memuktamadkan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang lama tertangguh, bulan depan.

RCEP merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) termasuk Malaysia dan enam rakan FTA – China, Jepun, India, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0676/0714 daripada 3.0707/0734 dan naik berbanding yen kepada 3.8482/8533 daripada 3.8620/8651.

Ringgit, bagaimanapun, susut berbanding pound British kepada 5.3890/3945 daripada 5.3794/3850 dan merosot berbanding euro kepada 4.6553/6614 daripada 4.6506/6557 pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini