Alibaba pecah rekod jualan 2018



HANGZHOU: Alibaba melakar rekod jualan baharu sempena Festival Beli Belah Global 11.11 tahun ini, menjangkau nilai barangan kasar (GMV) 250 bilion renminbi (RM147.5 bilion), setakat jam 10.30 malam tadi.

Syarikat peneraju e-dagang itu hanya memerlukan tempoh 16 jam 31 minit untuk meraih 213.5 bilion renminbi (RM125.97 bilion), iaitu jumlah jualan yang dicatatkan selama 24 jam ketika festival 11.11, tahun lalu.

Berdasarkan kedudukan 10 teratas, Malaysia ketika ini berada di tangga keenam sebagai negara yang paling banyak membeli produk dari China menerusi platform e-dagang Alibaba.

Carta berkenaan merekodkan Hong Kong berada di kedudukan pertama, diikuti Amerika Syarikat, Taiwan, Australia dan Jepun.

Meraikan kejayaan itu, Presiden Tmall dan Taobao Alibaba Group, Jiang Fan, berkata pertumbuhan jualan lebih 20 peratus berkenaan dipacu beberapa perubahan pendekatan strategik dengan memaksimumkan platform e-dagang.

Antara ‘pelaris’ jualan dalam festival berskala besar itu adalah penggunaan teknologi realiti maya (VR) terhadap barangan kosmetik yang menyaksikan pengguna berupaya menguji keserasian warna produk dengan kulit muka secara dalam talian.

Penerapan kaedah jualan secara siaran langsung menerusi aplikasi Taobao dan Lazada juga dikatakan terbukti melonjak kadar jualan, khususnya dalam kalangan ‘generasi Z’.

“Kita masih di peringkat percubaan untuk mengenal pasti sama ada pendekatan jualan secara siaran langsung menggunakan aplikasi Taobao dan Lazada berupaya mempengaruhi kadar jualan.

“Setakat ini, maklum balas yang diterima cukup baik kerana rata-rata pengguna mendapati ia pengalaman baharu dan cukup mengujakan kerana turut memuatkan pengisian lain.

“Ia merangkumi penganjuran permainan bagi memenangi baucar beli-belah, selain bertujuan menghiburkan penonton,” katanya kepada media di ibu pejabat Alibaba, di sini, hari ini.

Bersandarkan maklumat daripada pengkomputeran awan Alibaba, Fan berkata industri peruncitan menyaksikan pertumbuhan mendadak, sejak dua tahun lalu.

Perkembangan positif meskipun dihimpit isu perang dagangan Amerika Syarikat-China berkenaan didorong kaedah ‘peruncitan baharu’ yang diterajui pelbagai anak syarikat naungan Alibaba, selain kesan revolusi industri di Negara Tembok Besar itu.

“Kita masih menerima banyak syarikat asing yang cenderung menggunakan platform e-dagang Alibaba, berbanding membuka perniagaan secara fizikal.

“Kita akan terus membantu syarikat asing meluaskan perniagaan di China kerana menerima sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan rakyat, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini